
Ladang teh telah menjadi sebahagian daripada identiti Cameron Highlands sejak sekian lama. Barisan pokok teh yang memenuhi lereng bukit bukan sahaja menjadi antara pemandangan paling ikonik di sini, tetapi juga antara tarikan yang sering dikunjungi.
Namun, terdapat beberapa lokasi ladang teh yang boleh dilawati di Cameron Highlands, dan setiap satunya menawarkan pengalaman yang sedikit berbeza.
Tiga lokasi yang paling popular ialah:
- Cameron Valley Tea Plantation
- Boh Tea Estate
- Boh Tea Centre Sungei Palas
Kalau sedang merancang percutian ke Cameron Highlands dan ingin memasukkan lawatan ke ladang teh dalam itinerari, penting untuk mengetahui perbezaan antara ketiga-tiga lokasi ini. Setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri dari segi lokasi, akses, suasana dan kemudahan yang disediakan.
Dalam panduan ini, I akan kongsikan apa yang perlu diketahui tentang ketiga-tiga ladang teh ini sebelum berkunjung
1. Ladang Teh Bharat (Cameron Valley), Tanah Rata.
Ladang Teh Bharat, yang lebih dikenali sebagai Cameron Valley, merupakan antara ladang teh yang paling mudah untuk dikunjungi di Cameron Highlands.
Berbanding beberapa ladang teh lain yang terletak lebih jauh dari jalan utama, Cameron Valley berada betul-betul di tepi jalan utama menuju Tanah Rata. Ini membuatkan lokasinya agak mudah untuk ditemui oleh pengunjung.
Kawasan parking juga luas dan terletak berhampiran kawasan ladang, menjadikannya pilihan yang praktikal untuk persinggahan sementara bagi menikmati pemandangan atau membeli teh.
Masuk ke kawasan ladang adalah percuma. Selain menikmati pemandangan ladang teh, terdapat juga kedai yang menjual pelbagai jenis teh keluaran Bharat Tea.
Untuk lokasi, boleh terus cari “Ladang Teh Bharat” di Google Maps.
📍 Map: Ladang Teh Bharat / Cameron Valley. (Klik link)
⏰ Waktu Operasi: 9.00 am – 4.00 pm
🌐 Website : www.bharattea.com.my.


2. Ladang Teh Boh (Boh Tea Estate, Ringlet)
Boh Tea Estate di Ringlet merupakan antara ladang teh yang sudah lama bertapak di Cameron Highlands. Lokasinya berbeza daripada Cameron Valley kerana ladang ini terletak di kawasan berbukit dan perjalanan ke sini melibatkan jalan yang sempit serta berliku.
Satu perkara yang penting untuk diketahui ialah Boh Tea Estate di Ringlet bukan lokasi yang sama dengan Boh Tea Centre Sungei Palas. Kedua-duanya merupakan destinasi berbeza, jadi pastikan lokasi yang dipilih di Google Maps sebelum memulakan perjalanan.
Masuk ke sini adalah percuma. Namun, perlu datang lebih awal kerana waktu operasi adalah sehingga sekitar 4.30 petang.
Kereta boleh diletakkan di kawasan parking sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke kawasan atas bukit. Laluan ini melibatkan sedikit pendakian menggunakan tangga yang agak mencabar untuk sesetengah pengunjung.
Perjalanan naik ke atas bukit agak memenatkan, tetapi usaha sangat berbaloi kerana pemandangan yang cantik.
Selain itu, terdapat juga sebuah kafe yang menawarkan teh panas dan snek ringan.
📍 Map: Boh Tea Estate, Ringlet. (klik link)
⏰ Waktu Operasi: 9.00 am – 4.30 pm



3. Ladang Teh Boh Sungei Palas, Brinchang
Boh Tea Centre Sungei Palas merupakan salah satu destinasi ladang teh yang paling popular di Cameron Highlands. Terletak di kawasan Brinchang, lokasi ini sering menjadi pilihan pengunjung kerana bukan sahaja menawarkan pemandangan ladang teh, tetapi juga beberapa tarikan lain yang boleh dinikmati dalam satu kunjungan.
Disebabkan popularitinya, kawasan ini boleh menjadi agak sesak, terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kalau ingin menikmati suasana yang lebih tenang dan mengurangkan masa menunggu, sebaiknya datang pada awal pagi.
Selain menikmati pemandangan ladang teh yang menghijau, pengunjung juga boleh melihat sendiri proses pemprosesan teh di kilang yang terdapat di sini. Terdapat juga pameran sejarah Boh Tea yang memberikan sedikit gambaran tentang sejarah dan perkembangan jenama teh ini di Cameron Highlands.
Bagi yang ingin membeli teh atau mencari buah tangan, Tea Shop Centre menawarkan pelbagai produk Boh Tea untuk dibawa pulang.
Satu lagi tarikan utama di sini ialah kafenya. Pengunjung boleh berehat sambil menikmati secawan teh panas bersama pilihan makanan ringan dan pencuci mulut seperti kek dan muffin, dengan pemandangan ladang teh sebagai latar belakang.
Berbanding dua lokasi sebelumnya, Boh Tea Centre Sungei Palas menawarkan pengalaman yang lebih lengkap. Jadi, kalau hanya mempunyai masa untuk mengunjungi satu ladang teh di Cameron Highlands, lokasi ini boleh menjadi salah satu pilihan yang patut dipertimbangkan.
📍 Map: Boh Tea Centre Sungei Palas. (Klik link)
⏰ Waktu Operasi:8.30 am – 4.30 pm (Closed on Monday)



So, Nak Pergi Ladang Teh Yang Mana?
Kalau masih belum pasti ladang teh mana yang paling sesuai, pilihan sebenarnya bergantung pada jenis pengalaman yang dicari.
Nak yang paling mudah untuk singgah?
Pilih Ladang Teh Bharat / Cameron Valley. Lokasinya mudah diakses kerana terletak betul-betul di tepi jalan utama, dengan kawasan parking yang luas.
Nak pengalaman yang lebih ringkas dengan pemandangan ladang teh?
Boh Tea Estate di Ringlet boleh menjadi pilihan. Cuma perlu bersedia untuk melalui jalan yang sempit dan berliku, selain berjalan kaki dan menaiki tangga untuk sampai ke kawasan atas bukit.
Nak pengalaman yang lebih lengkap?
Pilih Boh Tea Centre Sungei Palas. Selain menikmati pemandangan ladang teh, terdapat juga kilang pemprosesan teh, pameran sejarah Boh Tea, Tea Shop Centre dan kafe.
Kalau mempunyai masa yang mencukupi, memang boleh sahaja mengunjungi ketiga-tiga lokasi ini. Cuma jangan pandang ringan perjalanan di Cameron Highlands. Jarak yang kelihatan dekat di peta boleh mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka kerana jalan yang berliku, terutama ketika hujung minggu, cuti sekolah dan musim percutian.

Selamat bercuti,
Auri Duham🌻





